Zahid yakin kontinjen TVET@KKDW mampu cipta sejarah di WorldSkills Shanghai 2026
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kontinjen TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berpotensi melakar sejarah dengan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada pertandingan WorldSkills Shanghai 2026.
Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan komitmen, disiplin dan tahap persediaan yang ditunjukkan peserta sepanjang latihan menjelang pertandingan yang akan berlangsung di Shanghai, China dari 22 hingga 27 September depan.
“Saya yakin Kontinjen TVET@KKDW mempunyai potensi untuk melakar sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Malaysia di pentas WorldSkills.
“Gunakan baki tempoh dua bulan ini untuk terus memperkukuhkan kemahiran, meningkatkan disiplin dan mengekalkan fokus agar dapat memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada Kontinjen TVET@KKDW di Seri Pacific Hotel, di sini hari ini.
Majlis itu diadakan bagi menzahirkan sokongan, penghargaan serta menyuntik semangat kepada peserta, jurulatih dan pakar negara yang bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran paling berprestij di dunia itu.
Tambah beliau, peserta TVET@KKDW yang berjaya memenangi pingat emas pada pertandingan tersebut bakal menerima hadiah pakej umrah bersama ibu bapa masing-masing.
“Ini janji saya jika dapat pingat emas. Saya hadiahkan untuk pergi umrah. Ibu dan bapa peserta juga akan dibawa bersama,” katanya.
Kontinjen TVET@KKDW diwakili sembilan peserta daripada institusi TVET di bawah KKDW iaitu TVET MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA.
Mereka akan bertanding dalam sembilan bidang kemahiran iaitu Fashion Technology, Car Painting, Electronics, Cyber Security, Rail Vehicle Technology, Cabinet Making, Digital Construction, Electrical Installations dan Mechanical Engineering CAD.
Kesemua peserta dibimbing oleh lapan jurulatih dan tujuh pakar negara daripada institusi TVET di bawah kementerian.
Pada majlis itu, Zahid turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen sebagai simbolik pelepasan rasmi membawa amanah negara ke pentas WorldSkills Shanghai 2026.
Majlis turut diserikan dengan demonstrasi robot humanoid yang dibangunkan TVET@KKDW menerusi TVET Collaboration Hub UniKL Robotics and Automation Center, UniKL Malaysia-France Institute.
Demonstrasi itu mencerminkan aspirasi TVET 2.0 yang memberi penekanan kepada penguasaan teknologi pintar, automasi dan robotik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Kontinjen TVET@KKDW akan bergabung dengan 13 lagi peserta dalam Kontinjen Malaysia ke WorldSkills Shanghai 2026, menjadikan penyertaan kali ini sebagai yang terbesar pernah disertai KKDW sejak Malaysia menyertai pertandingan berkenaan.
KKDW dalam kenyataannya memaklumkan penyertaan tersebut mencerminkan keupayaan ekosistem TVET di bawah kementerian dalam melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia yang mampu memenuhi kehendak industri global.
Menurut kementerian itu, KKDW akan terus memperkukuh ekosistem TVET negara melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kerja Raya (KKR), pihak industri serta rakan strategik dalam dan luar negara bagi memastikan institusi TVET di bawahnya kekal relevan, berdaya saing dan mampu melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia selaras aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








