Pasaran buruh kekal stabil, KESUMA aktif bantu pekerja kembali bekerja
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan pasaran buruh negara kekal stabil meskipun seramai 42,807 individu dilaporkan kehilangan pekerjaan setakat 12 Jun lalu, dengan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi membantu golongan terjejas kembali memasuki pasaran pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan program penempatan semula pekerjaan bagi memastikan pekerja yang diberhentikan menerima bantuan sewajarnya.
Menurut beliau, sehingga 12 Jun lalu, PERKESO telah meluluskan 134,123 tuntutan faedah di bawah Skim LINDUNG Kerjaya melibatkan peruntukan keseluruhan RM248.23 juta.
“Bantuan ini merangkumi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Fi Latihan (FL) dan Elaun Latihan (EL),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta KESUMA menjelaskan kesan krisis ekonomi global terhadap pasaran buruh serta statistik terkini pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Ramanan berkata, daripada keseluruhan 42,807 kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan, sektor pembuatan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,702 kes atau 20.7 peratus.
Ia diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan 7,560 kes serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan sebanyak 4,239 kes.
Menurut beliau, peningkatan pemberhentian pekerja dalam sektor pembuatan dipengaruhi lonjakan kos operasi domestik selain ketidaktentuan permintaan global yang menjejaskan rantaian bekalan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM580 juta menerusi Skim LINDUNG Kerjaya bagi membantu lebih 56,000 pekerja yang terkesan melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan, sokongan dan intervensi penempatan semula pekerjaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan fungsi jaringan keselamatan sosial negara kekal dinamik dan mampan dalam menghadapi impak krisis ekonomi global yang berpanjangan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KESUMA turut menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), termasuk menyemak kadar bayaran Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Fi Latihan, selain memperkenalkan Elaun Bantuan Mobiliti bagi menggalakkan mobiliti tenaga kerja ke kawasan yang mempunyai permintaan pekerjaan lebih tinggi.
Tambah beliau, PERKESO juga memperkukuh perkhidmatan penempatan pekerjaan dengan menugaskan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan memantau setiap kes secara proaktif menerusi kaunseling kerjaya, padanan pekerjaan yang tepat serta bantuan penempatan semula.
Dalam usaha mempercepatkan pekerja kembali bekerja, sebanyak 2,989 Karnival Kerjaya telah dianjurkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga 31 Mei lalu.
Program itu berjaya menarik 86,594 pencari kerja tempatan, dengan 14,029 individu memperoleh pekerjaan secara langsung, manakala 15,809 lagi berjaya ke peringkat temu duga seterusnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








