Menjelang keputusan rayuan akhir esok, Syed Saddiq serah kepada Allah
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan ketenangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhir kes dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang akan diputuskan esok.
Menerusi hantaran video di media sosial malam ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau tidak meminta simpati, sebaliknya berharap rakyat mendoakan agar sistem keadilan negara terus memelihara prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kepada rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia, jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang undang-undangnya melindungi semua, sama ada kawan atau lawan, yang berkuasa mahupun rakyat biasa,” katanya.
Syed Saddiq berkata, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau sentiasa memberikan kerjasama kepada mahkamah tanpa memohon penangguhan atau layanan istimewa.
Menurutnya, beliau memilih untuk mempertahankan diri melalui proses mahkamah kerana percaya keadilan perlu ditegakkan berasaskan bukti dan undang-undang, bukannya kuasa.
“Saya tidak akan mendahului mahkamah. Saya menghormati prosesnya dan akan hadir dengan tenang. Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya.
Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan pada pukul 9 pagi esok berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan dana ARMADA.
Keputusan itu sebelum ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu selepas seorang daripada tiga hakim panel mengambil cuti sakit.
Panel yang mendengar rayuan itu terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, serta Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan secara sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Kes itu membabitkan empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan harta membabitkan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan esok akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau disabitkan semula atas pertuduhan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








