BERITA SEMASA

PRN Johor: Pasangan pengantin baharu curi perhatian, terus mengundi selepas akad nikah

KOTA TINGGI – Sepasang pengantin baharu mencuri tumpuan apabila menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sejurus selesai majlis akad nikah mereka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung hari ini.

Pasangan berkenaan, Fifi Nur Khairin Tamrin, 24, dan suaminya, Muhammad Arif Fahmi Nor Azli, 28, hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong dengan mengenakan busana perkahwinan berwarna putih gading.

Fifi Nur Khairin berkata, tarikh perkahwinan mereka telah ditetapkan sejak Ogos tahun lalu, jauh lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor.

Menurutnya, mereka diijabkabulkan sekitar pukul 9 pagi sebelum bergegas ke pusat mengundi kira-kira sejam kemudian bagi memastikan tanggungjawab sebagai pengundi dapat dilaksanakan.

“Mulanya memang sedih juga sebab takut majlis tidak dapat diteruskan, tetapi kami buat keputusan untuk kekalkan perancangan.

“Memang kelam-kabut sedikit kerana selepas akad nikah kami hanya sempat mengambil beberapa keping gambar sebelum terus datang mengundi.

“Yang penting, sebagai rakyat kita perlu menunaikan tanggungjawab dan memilih pemimpin terbaik,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Katanya, pengalaman mengundi pada hari paling bermakna dalam hidup sambil mengenakan pakaian pengantin menjadi kenangan yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.

“Memang malu juga sebab ramai yang memandang, tetapi bukan selalu dapat melalui pengalaman seperti ini.

“Ini momen yang cukup bersejarah. Sampai bila-bila saya akan ingat kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari perkahwinan sendiri,” katanya.

Kehadiran pasangan pengantin itu turut menarik perhatian petugas dan pengundi lain yang tidak melepaskan peluang merakam gambar serta mengucapkan tahniah kepada mereka sebelum kedua-duanya pulang untuk meneruskan majlis persandingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button