PRN Johor: SPR selesai persiapan akhir menjelang hari pengundian esok
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 esok, dengan semakan menyeluruh terhadap peti undi, peralatan pilihan raya dan pusat mengundi di seluruh negeri bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semakan rapi melibatkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dilaksanakan bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan sempurna dan sedia digunakan.

Beliau berkata, persiapan itu merupakan antara prosedur paling penting bagi menjamin kelancaran proses pengundian, sekali gus memudahkan kira-kira 2.7 juta pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Setakat ini, saya difahamkan hampir semua Pegawai Pengurus (RO) telah melaksanakan tugas di 56 pusat di seluruh negeri Johor.
“Alhamdulillah, proses berjalan dengan amat lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serba Guna Permas, Kukup hari ini.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut waktu yang disarankan bagi mengelakkan kesesakan, selain membawa kad pengenalan dan mematuhi arahan petugas di pusat mengundi.
Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini mendapati petugas SPR sedang giat melakukan kerja pelabelan, menyusun kerusi dan meja serta memasang papan tanda arah di pusat mengundi.
Penyelia pusat mengundi bagi DUN Puteri Wangsa, Mohd Rasib Ngadiman berkata, persiapan melibatkan 12 saluran mengundi berjalan lancar dengan bantuan 74 petugas SPR dan kawalan 12 anggota polis.
“SPR pada masa sama turut menyediakan kemudahan kerusi roda untuk warga emas dan pengundi orang kurang upaya (OKU),” katanya memetik laporan Bernama.
Di Kluang, penyelia pusat mengundi SK Kampong Melayu, Kamarul Zaman Ahmad berkata, lima saluran mengundi disediakan di sekolah berkenaan bagi menampung kira-kira 3,000 pemilih DUN Mahkota dengan bantuan 30 petugas SPR.
Sementara itu di Batu Pahat, persiapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng memberi tumpuan kepada aspek keselesaan pengundi, khususnya warga emas, golongan muda dan OKU.
Di Mersing pula, operasi penghantaran peti undi ke Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi bagi DUN Tenggaroh dijalankan menerusi Jeti Mersing.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tenggaroh, Jamil Hasni Abdullah berkata, operasi itu melibatkan kira-kira 50 petugas dengan kawalan keselamatan oleh Pasukan Polis Marin dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) empat calon, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, selain enam calon Bebas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















