BERITA SEMASA

Pengumuman projek, dasar baharu selepas tarikh penamaan calon dilarang

KUALA LUMPUR – Sebarang pengumuman mengenai projek atau dasar baharu selepas tarikh penamaan calon bagi sesuatu pilihan raya sama sekali tidak dibenarkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu turut meliputi larangan tegas terhadap penggunaan jentera kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan berkempen.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan atau penerusan bagi projek-projek sedia ada yang sudah diluluskan sebelum tempoh berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah dan dibenarkan mengikut peraturan.

“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baru untuk masa kempen sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau juga kerajaan persekutuan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN- Arau) mengenai sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek Kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai kontroversi membabitkan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini, Anwar menjelaskan tindakan itu tidak menyalahi peraturan pilihan raya.

Anwar berkata, pengumuman peruntukan oleh Kor Ming berkenaan hanya membabitkan projek baik pulih yang sememangnya sudah diluluskan lebih awal, dan bukannya pengumuman bagi projek baharu.

“Tidak boleh projek baru. Ada projek sudah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan daripada peraturan pilihan raya dan saya semak daripada segi undang-undang dan juga dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Jadi yang dilakukan itu, walaupun saya setuju dia janganlah supaya jangan ada salah tafsiran kerana perlu kita patuhi undang-undang ini…kita dulu di sini jadi kita cuba patuhi.

“Yang itu saya setuju, cuma untuk melihat sama ada ada kesalahan daripada segi undang-undang itu kalau tidak ada dalam peruntukan sama ada dalam belanjawan yang diluluskan ataupun yang sudah dalam kerangka kementerian masing-masing, itu memang kesalahan,” katanya.

Katanya, sekadar mengumumkan projek atau peruntukan pada peringkat yang sedia ada bukanlah satu kesalahan undang-undang, meskipun beliau sendiri memilih untuk mengelak daripada berbuat demikian bagi mengelakkan salah faham.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button