‘Maju Johor’ bukan sekadar manifesto tapi iltizam lonjakkan kemajuan negeri
JOHOR BAHRU – ‘Maju Johor’ bukan sekadar manifesto Barisan Nasional (BN) tetapi iltizam untuk melonjakkan negeri dalam memenuhi potensinya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, Johor mesti terus dimajukan dan tidak boleh dibiarkan ketinggalan.
“Manifesto itu penting. Tetapi persoalannya ialah siapa yang mampu melaksanakannya.
“Atas sebab itulah pengalaman amat penting,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, PRN Johor kali ini pada hakikatnya merupakan pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan kedua-duanya bertanding di semua kerusi dan kedua-duanya mempunyai manifesto.
“Namun masih ada pihak yang bertanding tanpa menawarkan hala tuju untuk Johor, sedangkan sebuah negeri seperti Johor memerlukan perancangan, pembangunan dan kemajuan yang jelas
“Mengurus negeri dan negara bukan perkara mudah. Ia memerlukan pengalaman, dasar yang jelas dan kemampuan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya lagi.
Tambah beliau, walaupun pernah mengalami kekalahan, UMNO tidak pernah menutup pintu khidmat kepada rakyat.
“UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah institusi masyarakat yang sentiasa bersama rakyat.
“(Oleh sebab itu) UMNO mempunyai cawangan di seluruh negara kerana UMNO mahu berkhidmat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















