Nurul Izzah lepas jawatan penasihat kepada PM
CYBERJAYA – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan.
“Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.
“Saya berharap khidmat membantu YBhg. Tan Sri Mohd Hassan Marican beserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh Jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” ujarnya.