Kenderaan mewah bukan milik peribadi, jadi aset kerajaan lepas tamat khidmat PM – Anwar
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kenderaan mewah yang digunakan beliau bukan milik peribadi, sebaliknya merupakan aset kerajaan yang didaftarkan atas nama Jabatan Perdana Menteri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kenderaan berkenaan disediakan kerajaan untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri dan akan menjadi milik kerajaan selepas tamat tempoh perkhidmatannya.
Beliau berkata, kereta berkenaan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong buat kegunaan Perdana Menteri Malaysia.
“Kereta itu bukan atas nama Anwar Ibrahim, tetapi atas nama Jabatan Perdana Menteri. Ini kereta kerajaan, bukan saya punya.
“Apabila saya berhenti, kereta itu kerajaan punya, bukan saya punya,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak pernah mengambil kesempatan menggunakan kedudukan untuk memiliki aset kerajaan sebagai kepentingan peribadi.
Katanya, tuduhan terhadap perkara kecil seperti kenderaan rasmi tidak seharusnya mengalih perhatian daripada isu lebih besar berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan kekayaan negara.
Beliau turut menjelaskan penggunaan kenderaan kalis peluru yang digunakan ketika tempoh tertentu adalah atas faktor keselamatan dan bukan kehendak peribadi.
Menurutnya, kenderaan berkenaan sememangnya disediakan kerajaan untuk kegunaan tetamu luar negara dan pemimpin tertentu apabila diperlukan.
“Kereta kalis peluru itu bukan saya minta. Ketika itu keadaan keselamatan agak tegang dan ada nasihat supaya digunakan untuk beberapa minggu.
“Saya kata tidak mahu, tetapi dimaklumkan ia memang ada dalam simpanan kerajaan untuk kegunaan apabila tetamu luar negara datang,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut membandingkan isu berkenaan dengan dakwaan salah guna kuasa melibatkan nilai lebih besar yang menurutnya perlu diberikan perhatian.
Katanya, kerajaan MADANI akan terus berpegang kepada prinsip integriti dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap kekayaan negara.
“Saya tidak curi wang, saya tidak mahu curi wang. Negara ini boleh selamat dan boleh hebat dengan syarat kita hentikan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















