24 jawatan baharu Tok Batin dilulus, perkukuh sistem kepimpinan Orang Asli
MERSING – Kerajaan meluluskan 24 jawatan baharu Tok Batin bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan kepimpinan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan memperkasa pembangunan komuniti Orang Asli.
“Semalam saya membawa isu Orang Asli ke mesyuarat Jemaah Menteri dan (hasilnya) 24 jawatan baharu Tok Batin diluluskan Kabinet untuk kampung-kampung Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau, di sini hari ini.
Zahid berkata, selain penambahan jawatan Tok Batin, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama kerajaan negeri turut mengambil langkah mewartakan beberapa kampung Orang Asli di Johor.
Menurutnya, kampung yang telah diwartakan ialah Kampung Tanjung Tuan, Kampung Tanah Abang, Kampung Peta dan Kampung Labong di Endau.
“Beberapa kampung lain masih dalam proses pewartaan, namun kelulusannya tertakluk kepada kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Metro Online.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap pembangunan prasarana masyarakat Orang Asli termasuk pembinaan empat sekolah serta penyediaan dewan, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan telekomunikasi.
Katanya, usaha memperkasa masyarakat Orang Asli akan terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif yang digerakkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat Orang Asli melalui penyediaan kemudahan asas serta pengukuhan institusi kepimpinan di peringkat kampung,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















