Calon PH Pekan Nanas mahu mansuh ADUN lantikan
CYBERJAYA – Pemansuhan ADUN lantikan akan menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Tung Siong berkata, tindakan melantik ahli yang tidak dipilih rakyat ke dalam DUN adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi, lapor Sin Chew Daily, hari ini.
Beliau berkata, andai terpilih, beliau akan membentangkan usul memansuhkan peruntukan berkaitan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Malah, jika PH memperoleh majoriti di Johor (dan mengambil alih kerajaan negeri), pendirian saya tetap tidak berubah.
“Saya akan bantah ADUN lantikan oleh kerajaan negeri pimpinan PH,” katanya ketika berkempen.
Tung Siong dalam amsa sama turut mengkritik ADUN Barisan Nasional (BN) kerana meluluskan pindaan perlembagaan itu Mei lalu yang membenarkan lima ADUN tambahan dilantik bukan melalui pilihan raya, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan ADUN kepada 61.
Cadangan berkenaan mengundang kritikan parti pembangkang, sekutu BN dalam kerajaan persekutuan termasuk DAP dan PKR, serta kumpulan masyarakat sivil.
Pada PRN kali ini, Tung Siong berhasrat merampas semula kerusi DUN itu daripada penyandang, Tan Eng Meng daripada BN dalam persaingan satu lawan satu.
Pemimpin DAP itu pernah menguasai kerusi berkenaan selama dua penggal sebelum tewas kepada Eng Meng daripada MCA, pada PRN 2022.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















