JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan 4 individu bantu siasatan transaksi pemindahan DAK ke Jepun

PUTRAJAYA – Seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, individu yang ditahan terdiri daripada seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), seorang pesara jabatan itu yang juga bekas Pengarah Bahagian Taman Zoologi, serta dua pemilik syarikat.

Dalam masa yang sama, bliau berkata, satu Kertas Penyiasatan Tatakelola turut dibuka bagi meneliti beberapa isu berkaitan proses pemindahan gajah berkenaan.

“Antara yang disiasat ialah pihak yang menanggung kos pemindahan tiga gajah itu ke Jepun, keberadaan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, status persijilan veterinar serta spesifikasi kandang di Zoo Tennoji,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihaknya tidak menemukan sebarang kaitan dana perpindahan DAK yang dikatakan bernilai RM53 juta ringgit dengan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Siasatan juga mendapati tidak wujud aliran wang ataupun aliran tunai pembayaran kepada menteri itu atau terhadap mana-mana syarikat yang mencurigakan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Abdul Halim berkata, terdapat keraguan transaksi terhadap empat suspek yang disiasat.

Setakat ini, seramai 19 saksi telah dirakam keterangan, manakala empat telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button