BERITA SEMASA

Pengisian guru prasekolah hampir penuh, capai 99.8 peratus – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pengisian jawatan guru prasekolah di seluruh negara kini mencapai 99.8 peratus daripada keperluan keseluruhan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat 1 Julai lalu seramai 10,478 guru prasekolah telah ditempatkan di seluruh negara.

Beliau berkata, bagi menampung pertambahan permohonan kemasukan murid prasekolah, KPM turut menempatkan 1,202 guru prasekolah baharu sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

“KPM memastikan pengisian dan penempatan guru dibuat dengan teratur di seluruh negara.

“Pengambilan guru tambahan turut dirancang secara berfasa dan sistematik, selaras dengan unjuran peningkatan enrolmen di setiap kawasan bagi memastikan nisbah guru dan murid kekal optimum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) berhubung kesiapsiagaan KPM dalam menampung peningkatan permohonan kemasukan prasekolah, termasuk aspek penyediaan bilik darjah, guru dan kemudahan pembelajaran.

Mengulas lanjut, Wong berkata, kementerian komited memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal yang berkualiti sebelum melangkah ke Tahun Satu.

Menurutnya, pembukaan kelas prasekolah baharu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan sebenar di sesuatu kawasan, termasuk di luar bandar dan lokasi yang mencatat permintaan tinggi.

Setakat 31 Mei lalu, sebanyak 10,491 kelas prasekolah beroperasi di seluruh negara dengan jumlah enrolmen seramai 217,026 murid.

“Usaha ini merangkumi pewujudan kelas prasekolah di institusi pendidikan sedia ada di bawah KPM serta pembukaan kelas baharu di kawasan yang masih mempunyai akses terhad kepada pendidikan prasekolah.

“Penentuan lokasi pembukaan dan peluasan kelas tidak dibuat secara ad hoc, sebaliknya berasaskan penilaian menyeluruh terhadap beberapa faktor kritikal,” ujarnya.

Beliau berkata, antara faktor yang diambil kira ialah bilangan kanak-kanak dalam lingkungan umur prasekolah, permintaan setempat, kapasiti kemudahan sedia ada, jarak ke institusi pendidikan awal kanak-kanak berhampiran, kesesuaian prasarana serta unjuran enrolmen di sesuatu kawasan.

Dalam pada itu, Wong berkata, KPM terus memperkukuh latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan bagi guru prasekolah bagi memastikan mereka memiliki kelayakan dan kompetensi yang memenuhi standard pendidikan awal kanak-kanak.

Ia sekali gus menyokong penyediaan persekitaran pembelajaran yang berkualiti di setiap kelas prasekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button