UPNM rasmi galeri Jeneral Tun Ibrahim, angkat warisan ketenteraan dan inovasi digital
KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melancarkan Hab Kreatif bernilai RM1.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memperkasa kemudahan pembelajaran digital dan melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dalam era teknologi.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, peruntukan RM1.9 juta itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh infrastruktur digital universiti selaras keperluan pendidikan tinggi masa kini.
“Melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan Ke-5 (RP5) berjumlah RM1.9 juta, perpustakaan ini berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan infrastruktur dan pendigitalan pembelajaran.
“Antaranya termasuk projek menaik taraf makmal komputer serta pembinaan dua kemudahan baharu iaitu Studio Green Screen dan Maker Space yang juga dinamakan Hab Kreatif,” katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan majlis pelancaran hab kreatif itu di sini hari ini.
Hab Kreatif yang dibangunkan di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim (PJTI) itu dilengkapi Studio Digital (Studio Green Screen) dan Maker Space, selain menaik taraf makmal komputer menerusi peruntukan Rolling Plan Ke-5 (RP5) RMK-12.
Mengulas lanjut, Arman Rumaizi berkata, Studio Digital akan menjadi pusat penghasilan video profesional, rakaman multimedia, dokumentari dan kandungan pembelajaran digital interaktif.

Beliau berkata, Maker Space pula diwujudkan sebagai ruang kolaboratif yang mampu merangsang inovasi, pemikiran kritis dan pembangunan kemahiran teknologi selaras aspirasi pendidikan abad ke-21.
Dalam majlis sama, UPNM turut merasmikan Galeri Jeneral Tun Ibrahim yang dinaik taraf menggunakan dana sumbangan keluarga Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim berjumlah RM100,000.
Allahyarham merupakan mantan Ketua Turus Angkatan Tentera dan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) sempena Istiadat Konvokesyen Pertama UPNM pada 2010.
Selain menaik taraf galeri, dana itu turut digunakan bagi menghasilkan dokumentari khas mengenai Allahyarham bagi memelihara warisan intelektual beliau.
Galeri berkenaan menghimpunkan koleksi peribadi Allahyarham yang disumbangkan keluarganya pada April tahun lalu, termasuk buku, pingat kebesaran dan foto sejarah sebagai bahan rujukan warga universiti, penyelidik serta masyarakat.
Arman Rumaizi berkata, galeri itu diharap menjadi medium menyemai nilai kepimpinan, patriotisme dan semangat pengabdian kepada negara dalam kalangan warga UPNM, khususnya pegawai kadet.
“Saya berharap galeri ini akan terus menghidupkan semangat perjuangan, kepimpinan dan kecemerlangan Allahyarham agar sentiasa segar dalam ingatan, menjadi sumber inspirasi serta jambatan yang menghubungkan sejarah dengan generasi masa hadapan.
“Lebih istimewa, galeri ini diharapkan dapat menyemai nilai kepimpinan, patriotisme dan semangat pengabdian kepada negara dalam kalangan warga UPNM, khususnya pegawai kadet yang bakal memikul amanah mempertahankan kedaulatan tanah air,” katanya.
Mewakili keluarga Allahyarham, Mariam Ibrahim, Datin Zairin Ibrahim dan Ahmad Ibrahim menzahirkan penghargaan atas penghormatan yang diberikan UPNM.
Menurut mereka, penubuhan galeri itu bukan sahaja menghargai jasa Allahyarham kepada negara, malah memastikan nilai kepimpinan, semangat pengorbanan dan kecintaan kepada tanah air terus diwarisi generasi akan datang.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pustakawan PJTI, Mohammed Dzulkarnain Abdul Karim; tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; pengurusan tertinggi UPNM serta wakil industri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















