Letak jawatan MPT BERSATU kerana mahu fokus pentadbiran negeri – MB Perlis
KUALA PERLIS – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan, peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tidak bermaksud beliau mahu meninggalkan parti berkenaan.
Beliau sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat beliau kerana tidak lagi mampu memberi komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan parti di peringkat pusat susulan tumpuan penuh beliau terhadap pentadbiran negeri.
Tambahnya, surat peletakan jawatan itu dihantar kepada pucuk pimpinan BERSATU minggu lalu selepas beliau beberapa kali tidak dapat menghadiri mesyuarat MPT di peringkat pusat berikutan komitmen mengurus pentadbiran negeri.
“Keputusan itu dibuat dengan pengetahuan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi memberi laluan kepada pemimpin lain menggalas tanggungjawab di peringkat pusat.
“Setakat ini tiada kena mengena dengan hendak menyertai parti A atau parti B kerana kami masih terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti. Jika saya menerima undangan mana-mana parti, ia akan menimbulkan implikasi kepada kedudukan saya sebagai ahli parti dan ADUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis kunjungan hormat delegasi Satun, Thailand sempena pembukaan semula laluan air jeti Kuala Perlis-Satun, di sini hari ini.
Beliau turut berkata, peletakan jawatan selaku Ahli MPT tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ketua BERSATU Bahagian Kangar dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis.
Selain itu, ia memberi ruang kepada beliau memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan serta melaksanakan agenda pembangunan negeri sehingga tamat penggal pentadbiran yang berbaki kira-kira setahun lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















