Perumahan rakyat mampu milik jadi keutamaan PH di Johor – Dzulkefly Ahmad
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) berjanji membina 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu bersamaan pembinaan 16,000 unit rumah setahun bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya di Johor Bahru.
Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sasaran 30,000 unit rumah mampu milik yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi tempoh 2022 hingga 2026.
“Kita telah melancarkan manifesto dan membuat komitmen, sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kita akan membina 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun atau 16,000 unit setahun.
“Kita perlu membina lebih banyak rumah mampu milik kerana ia merupakan satu keperluan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas berkempen di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, isu pemilikan rumah menjadi antara kebimbangan utama rakyat memandangkan hampir separuh daripada 4.2 juta penduduk Johor menetap di Johor Bahru.
Katanya, peningkatan kos sara hidup, persaingan ekonomi dengan Singapura serta pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands dijangka meningkatkan lagi permintaan terhadap rumah mampu milik.
“Keperluan rumah mampu milik ini tidak boleh dikompromi. Kerajaan perlu menyediakan jumlah rumah mampu milik yang mencukupi,” katanya.
Selain perumahan, beliau berkata, PH turut memberi perhatian terhadap isu kesesakan lalu lintas yang menjadi antara masalah utama di Johor Bahru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















