POLITIK

PRN: Gobind rayu pengundi Johor di luar pulang mengundi Sabtu ini

JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, merayu rakyat Johor yang bekerja di luar negeri termasuk di Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Gobind yang juga Menteri Digital berkata, pilihan raya yang berlangsung sekali setiap lima tahun itu menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju negeri dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pengundi perlu memilih wakil rakyat yang mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelbagai projek pembangunan di Johor dapat diteruskan.

“Kita mahu kerajaan negeri yang boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat supaya projek-projek pembangunan dapat diteruskan demi masa depan rakyat Johor.

“Untuk menang kita mesti ada undi. Sebab itu saya merayu kepada semua yang bekerja di Singapura atau di luar Johor supaya pulang mengundi,” katanya ketika berucap pada Malam Harapan di sini malam tadi.

Gobind berkata, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian besar kepada pembangunan Johor menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan awam.

Beliau mendakwa kejayaan pembangunan negeri itu bukan hanya hasil usaha kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya turut disokong oleh peruntukan serta komitmen kerajaan pusat.

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan projek seperti sistem pengangkutan, hospital, klinik kesihatan dan sekolah dapat direalisasikan demi manfaat rakyat,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button