BERITA SEMASA

KTMB sedia 7,464 tempat duduk tambahan bantu pengundi PRN Johor

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah kapasiti perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dengan menyediakan 7,464 tempat duduk tambahan bagi laluan ke Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil susulan permintaan tinggi daripada orang ramai selepas tiket tren tambahan yang mula dijual pada 19 Jun lalu habis dijual.

Menurut kenyataan itu, sebanyak empat perkhidmatan ETS tambahan disediakan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral, manakala empat lagi perkhidmatan melibatkan laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral.

KTMB berkata, tiket bagi laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral telah mula dijual pada Selasa bermula pukul 3 petang, manakala tiket tambahan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral dibuka pada Rabu bermula pukul 9 pagi.

“Secara keseluruhan, sebanyak 2,488 tempat duduk tambahan disediakan setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan 7,464 tempat duduk sepanjang tiga hari operasi, iaitu dari 10 hingga 12 Julai 2026,” menurut kenyataan itu.

Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, KTMB turut menawarkan tambang promosi dengan diskaun 20 peratus bagi semua perkhidmatan ETS tambahan sepanjang tempoh berkenaan.

KTMB turut menasihati orang ramai, khususnya penumpang dari luar Johor serta mereka yang berada di luar daerah dalam negeri itu, supaya memanfaatkan perkhidmatan ETS tambahan bagi membolehkan mereka pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha KTMB menggalakkan penggunaan pengangkutan awam menerusi inisiatif *Road to Rail*.

Pada masa sama, penumpang dinasihatkan supaya tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas bagi melancarkan proses menaiki tren, selain memastikan mereka berada di pintu masuk sebelum ia ditutup lima minit sebelum tren bertolak.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tren tambahan, termasuk jadual perjalanan, boleh diperoleh menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button