AGAMABERITA SEMASA

Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan itu selaras dengan kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan dasar dan pentadbiran hal ehwal agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau.

Beliau berkata, antara pertimbangan utama ketetapan itu adalah bagi memastikan institusi masjid terus dimakmurkan sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

“Jika surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia boleh menjejaskan usaha mengimarahkan masjid.

“(Ini) kerana umat Islam mempunyai pilihan lain sehingga berkemungkinan mengurangkan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Salehuddin, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau di Selangor yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk memenuhi keperluan umat Islam di negeri berkenaan.

Katanya, kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berhampiran masjid atau surau yang telah mendapat kebenaran solat Jumaat, sekali gus memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut.

Beliau berkata, pelaksanaan solat Jumaat lebih sesuai diadakan di masjid atau surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya berada dalam persekitaran aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

“Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS juga perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas serta tadbir urus surau sekiranya kebenaran mendirikan solat Jumaat diberikan.

“Jika petugas tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan pengurusan surau termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan ketika ini hanya sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat berikutan ketiadaan masjid berhampiran.

“Namun kebenaran ini adalah bersifat sementara kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.

“Bagaimanapun, kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya pada masa hadapan sebuah masjid dibina berhampiran pusat beli-belah tersebut dan mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, kerajaan sedang menggerakkan inisiatif memperluaskan pelaksanaan solat Jumaat di surau-surau pusat beli-belah sebagai usaha memperkukuh syiar Islam dan memudahkan masyarakat menunaikan ibadah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button