Jenazah Ali Khamenei disambut di Iraq, ribuan dijangka sertai perarakan penghormatan
NAJAF – Jenazah bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei tiba di Najaf malam tadi bagi meneruskan siri penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Iran, dengan ribuan orang dijangka menyertai perarakan di bandar-bandar suci Iraq.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, ketibaan pesawat Mahan Air yang membawa jenazah Allahyarham Ali Khamenei di Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf itu disiarkan secara langsung oleh televisyen kerajaan Iraq.
Pesawat itu tiba sejurus selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mendarat bagi menghadiri upacara rasmi yang dianjurkan kerajaan Iraq.
Turut menyambut ketibaan jenazah ialah beberapa pegawai kanan dan pemimpin politik Iraq termasuk Perdana Menteri, Ali al-Zaidi serta Komander Pasukan Quds, Esmail Qaani.
Lapangan terbang dihiasi dengan permaidani merah, poster kaligrafi Islam dan potret Allahyarham Ali Khamenei sebagai tanda penghormatan terakhir.
Kerajaan Iraq turut mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum bagi membolehkan orang ramai menyertai perarakan yang dijadualkan bermula pada pukul 6 pagi di Najaf.
Sejak sehari sebelum perarakan, orang ramai mula membanjiri bandar suci itu bagi mengikuti perjalanan sejauh kira-kira enam kilometer yang berakhir di Makam Imam Ali, antara lokasi paling dihormati dalam kalangan penganut Syiah.
Jalan-jalan utama di Najaf turut dihiasi dengan sepanduk dan potret besar Allahyarham Ali Khamenei.
Seorang pengunjung, Mohammed al-Bayati, 30, berkata, beliau sanggup menempuh perjalanan beberapa jam untuk menghadiri upacara penghormatan terakhir itu.
“Saya datang untuk menghadiri pengebumian tokoh yang mencabar kuasa Amerika Syarikat dan Israel,” katanya kepada AFP.
Selepas upacara di Najaf, jenazah Ali Khamenei dijadual diterbangkan ke Karbala untuk satu lagi perarakan sebelum dibawa ke makam Imam Hussein dan Abbas.
Iran memulakan upacara pengebumian awam selama enam hari pada Sabtu lalu, termasuk memperuntukkan satu hari khas di Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan Tehran serta majoriti penduduk berfahaman Syiah.
Ali Khamenei yang dilaporkan terbunuh pada hari pertama konflik di Asia Barat dalam serangan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel pada Februari lalu, dijadual dikebumikan esok di Mashhad, kampung halamannya di timur laut Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








