POLITIK

‘Beri kami perintah, baru boleh nilai manifesto’ – Mohamad Sabu

BATU PAHAT – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) hanya boleh dinilai keberkesanannya sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan manifesto PH sebagai sekadar ‘copy paste’ tidak menjadi isu kerana yang lebih penting ialah kemampuan sesebuah kerajaan melaksanakan segala tawaran kepada rakyat.

“Manifesto sesiapa sahaja boleh tulis macam-macam. Tengok nak bagi berjalan atau tidak manifesto itu, bagilah kita memerintah.

“Itu sahaja caranya. Kalau kita tak memerintah, tak boleh buat apa. Tapi saya yakin insya-Allah pada 12 hari bulan ini kita boleh bentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Bersama YB Datuk Seri Mohamad Sabu, di Rengit, di sini hari ini.

Baca juga : PRN Johor: ‘Fatwa’ politik PAS tidak konsisten, berubah ikut keadaan – Mat Sabu

Sebelum ini, Khairy ketika berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram di Johor Bahru mendakwa kandungan manifesto PH hanya mengulangi perkara yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN).

Dalam perkembangan sama, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendakwa sokongan pengundi Melayu terhadap PH semakin menunjukkan peningkatan selepas seminggu tempoh berkempen.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang kempen PRN Johor, masyarakat Melayu dilihat semakin cenderung untuk memberikan sokongan kepada PH.

“Kami boleh nampak masyarakat Melayu terutama sekali mula cenderung untuk mengundi PH,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button