Keputusan Norway jejas kepercayaan dalam kerjasama pertahanan
KUALA LUMPUR – Keputusan Norway mengekalkan pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia mewujudkan satu situasi yang boleh menjejaskan kepercayaan antara negara dalam sektor pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan sedemikian bukan sekadar pembatalan kontrak perolehan pertahanan, malah berupaya melemahkan keyakinan terhadap komitmen antarabangsa serta kerjasama strategik antara negara.
“Jika sebuah negara yang sekian lama dianggap sebagai juara keamanan dan sinonim dengan Hadiah Keamanan Nobel boleh mengenepikan komitmen yang telah dipersetujui, adakah komitmen antarabangsa masih boleh dipercayai, diyakini dan dihormati oleh masyarakat dunia?
“Bagaimana kita mahu terus memperkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa jika timbul rasa tidak percaya dan ketidakpastian akibat contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh Norway?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan berhubung isu pembatalan NSM kepada Kerajaan Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dijangka melengkapkan penilaian teknikal terhadap sistem peluru berpandu pengganti bagi Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang akhir bulan ini susulan pembatalan perolehan NSM.
Mohamed Khaled berkata, kementerian bersama TLDM kini sedang menilai cadangan daripada beberapa pengeluar peralatan asal (OEM) dari pelbagai negara bagi memulihkan keupayaan peluru berpandu permukaan ke permukaan kapal berkenaan.
Beliau berkata, proses penilaian itu sedang berjalan dan akan diselesaikan sebelum memasuki peringkat penilaian seterusnya.
Semalam, Mohamed Khlaed dipetik sebagai berkata, pihak TLDM sudah mengenal pasti calon daripada Turkiye, Korea Selatan dan dua buah negara Eropah bagi menggantikan sistem daripada Norway berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














