LUAR NEGARA

Pemimpin Iran hadir solat jenazah Ali Khamenei

TEHRAN – Barisan kepimpinan tertinggi politik dan ketenteraan Iran tampil secara terbuka bagi menghadiri solat jenazah bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam, dalam satu daripada perhimpunan rasmi terbesar negara itu sejak konflik yang meragut nyawanya awal tahun ini.

Ratusan ribu rakyat dilaporkan memenuhi Kompleks Grand Mosalla di Tehran bagi menyertai upacara penghormatan terakhir kepada Khamenei dan beberapa anggota keluarganya yang turut terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu, memetik laporan Saudi Gazette.

Solat jenazah dipimpin oleh Ayatollah Jafar Sobhani, manakala antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Qalibaf; Komander Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Ahmad Vahidi; Komander Pasukan Quds, Esmail Qaani serta tiga anak lelaki Khamenei iaitu Masoud, Meysam dan Mostafa Khamenei.

Bagaimanapun, perhatian tertumpu kepada ketiadaan Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang tidak kelihatan di khalayak umum sejak dilaporkan cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya.

khamenei
Ribuan pengunjung hadir memberi penghormatan terakhir kepada Ali Khamenei.

Upacara pengebumian berlangsung dalam suasana penuh emosi dan sentimen anti-Amerika Syarikat serta anti-Israel yang semakin memuncak. Ribuan pelayat dilihat membawa sepanduk mengutuk kedua-dua negara itu dan menuntut tindakan balas.

Sepanjang majlis berlangsung, penyair dan pengacara rasmi acara, Mohammad Rasouli mengetuai laungan ‘Maut kepada Amerika’ dan ‘Maut kepada Israel’ selain menyasarkan kritikan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang disambut dengan sorakan dan tepukan daripada hadirin.

Sebahagian pelayat turut melaungkan tuntutan untuk membalas dendam terhadap Trump yang terus dipersalahkan oleh kelompok konservatif Iran susulan ketegangan berpanjangan sejak serangan udara Amerika Syarikat pada 2020 yang mengorbankan Qassem Soleimani.

Pada masa sama, Trump dilaporkan sedang berucap sempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat di Washington dan mendakwa operasi ketenteraan negaranya telah ‘melumpuhkan’ keupayaan ketenteraan Iran dalam konflik terbaharu itu.

Pihak berkuasa Iran turut mengesahkan bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat ditangguhkan sehingga selesai keseluruhan upacara pengebumian Khamenei.

Siri perarakan pengebumian dijadualkan diteruskan sepanjang minggu ini, dengan jenazah Khamenei akan dibawa mengelilingi Tehran sebelum dipindahkan ke Qom dan seterusnya ke Iraq.

Upacara pengebumian terakhir dijadual berlangsung pada 9 Julai di Makam Imam Reza di bandar kelahirannya, Mashhad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button