‘Belajarlah solat jenazah, jangan sekadar jadi pemerhati’
KUALA LUMPUR – Waris khususnya anak lelaki diingatkan supaya mempelajari cara menunaikan solat jenazah agar dapat menyempurnakan tanggungjawab terakhir terhadap ibu bapa atau ahli keluarga apabila berlaku kematian.
Perkara itu dikongsi seorang pengurus jenazah menerusi hantaran tular di Thread.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya, terdapat beberapa kesilapan yang sering berlaku ketika urusan kematian termasuk sikap sebahagian waris lelaki yang hanya menjadi pemerhati tanpa turut serta dalam solat jenazah.
Menggunakan nama akaun @Ahmdfkhrll._, lelaki itu menegaskan, amat rugi bagi seorang anak lelaki jika tidak mampu menunaikan solat jenazah untuk ibu bapa sendiri.
“Solat jenazah sebenarnya mudah, hanya empat kali takbir tanpa rukuk dan sujud,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Justeru beliau berkata, sebagai seorang Muslim, antara perkara penting yang perlu dilakukan apabila berpindah ke kawasan baharu ialah mengenali masjid atau surau berhampiran.
Tambahnya, masjid dan surau bukan sahaja tempat beribadah malah menjadi pusat maklumat penting seperti nombor telefon jawatankuasa masjid serta kemudahan komuniti yang boleh dihubungi ketika berlaku kecemasan.
“Jangan sampai apabila berlaku kecemasan kita tidak tahu hendak menghubungi siapa,” katanya.
Ujar beliau lagi, ada juga individu yang takut untuk terlibat dalam pengurusan jenazah kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Namun katanya, ahli jawatankuasa masjid biasanya sentiasa bersedia membantu dalam setiap proses pengurusan jenazah.
“Jangan hanya duduk di satu sudut memerhati. Ambillah peluang untuk membantu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan waris terdekat supaya turut menyambut jenazah buat kali terakhir ketika proses pengebumian di liang lahad.
Menurutnya, waris tidak perlu bimbang jika pakaian menjadi kotor terkena tanah kerana ia merupakan saat terakhir memberi penghormatan kepada insan tersayang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





