POLITIK

60 ahli BERSATU sertai PKR, PH yakin sokongan terus meningkat di Batu Pahat

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menyambut baik tindakan 60 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Senggarang Timur mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, beliau tidak menjangkakan penyertaan kumpulan berkenaan, yang menurutnya turut membabitkan penyokong Perikatan Nasional (PN).

“Kami pun tidak sangka ada lebih kurang 60 orang daripada BERSATU dan penyokong Perikatan Nasional (PN) memilih untuk bersama PKR.

“Kami ucapkan terima kasih kepada penyokong dan anggota BERSATU yang memilih PKR dan saya harap perjuangan ini akan berkekalan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di sini hari ini.

Baca juga : Tiga calon PH di Batu Pahat tekad pikul amanat PM santuni rakyat, tolak salah guna kuasa

Terdahulu, Bekas Ketua BERSATU Cawangan Senggarang Timur, Mohamad Asri Sebin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mereka memilih untuk menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengetuai ahli-ahli berkenaan ditemui selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar pada program Ramah Mesra Bersama Anak Muda di Senggarang pada malam semalam.

Mengulas lanjut, Onn berkata, sokongan yang diterima itu memberi suntikan semangat kepada PH untuk terus mendekati rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, pengalaman sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat selama tiga tahun setengah akan dimanfaatkan bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu di DUN Senggarang.

“Saya akan membantu DUN Senggarang sebagaimana yang saya lakukan sepanjang tiga tahun setengah sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.

“Kita akan terus memberi tumpuan kepada keperluan rakyat termasuk menaik taraf jalan, longkang dan kemudahan asas lain demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Menurutnya, kerjasama bersama pasukan PH yang terdiri daripada calon DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling dan DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri akan memudahkan usaha menyelaras pembangunan di kawasan Parlimen Batu Pahat.

Pada sama beliau turut yakin sokongan terhadap PH akan terus meningkat, bukan sahaja daripada pengundi atas pagar, malah turut melibatkan penyokong parti-parti lain.

“Ini baru sebahagian sahaja. Saya yakin sokongan daripada pengundi atas pagar dan parti lain akan berpihak kepada kami bertiga,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button