PMX

Tegas banteras rasuah, Anwar dakwa ada parti politik mahu jatuhkan beliau

BATU PAHAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud gerakan oleh parti politik tertentu yang berusaha menjatuhkan beliau susulan pendirian tegas kerajaan dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, ketegasan kerajaan pimpinannya dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa didakwa menjadi punca ketidakpuasan sesetengah pihak.

“Sebab itu tuan-tuan tahu sekarang, semua parti pakat mahu jatuhkan saya. Kenapa? Sebab dia tahu kita tegas. Dia tahu kita jaga semua,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di sini, hari ini.

Baca juga : PRN: Anwar seru pengundi Johor beri peluang PH tadbir, tekankan tatakelola baik

Hadir sama, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar; DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling dan DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang salah guna kuasa termasuk mengambil projek, tanah atau saham sepanjang berada dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya datang Johor berkali-kali, saya tidak ambil projek, tanah atau saham. Kita kena hentikan budaya salah guna kuasa ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Johor mencatat pembangunan dalam aspek infrastruktur, isu berkaitan kehidupan asas rakyat seperti perumahan dan makanan asas masih memerlukan perhatian serius.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa wujud percubaan untuk menggugat sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dengan memainkan isu lama termasuk hubungan dengan DAP serta sentimen perkauman.

Jelas beliau, kerjasama dengan DAP dan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan adalah berasaskan kepentingan rakyat serta tidak menjejaskan agenda Melayu dan Islam.

Beliau menegaskan, politik perkauman hanya akan merugikan rakyat, manakala golongan tertentu di peringkat atasan akan mengambil kesempatan daripada perpecahan tersebut.

“Bila kita bergaduh, yang untung adalah orang atas. Sebab itu kita kena hentikan politik lama yang memecahkan rakyat,” katanya sambil menggesa pengundi di Johor memberi ruang kepada PH untuk mentadbir negeri menjelang PRN Johor kali ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button