Mohd Puad muncul pada program PH
JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, membuat kemunculan mengejutkan apabila menghadiri program Pakatan Harapan (PH) di Felda Ulu Tebrau, di sini malam tadi.
Kehadiran beliau menyusuli pengisytiharan sokongan kepada calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat bersalaman dan memeluk Mohd Puad ketika menghadiri program Dialog Anak Muda Johor itu.
Mohd Puad yang duduk bersebelahan Anwar turut berucap dengan menyatakan sokongan kepada calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik.
“Bukan mudah untuk memujuk saya hadir ke program ini. Saya datang kerana seorang sahabat lama.
“Ringkasnya, saya berada di pentas ini kerana PH adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, begitu juga Barisan Nasional (BN).
“Tiada apa yang salah. Lagipun saya bukan lagi ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata, sejak mengumumkan sokongan kepada calon PH di Rengit, beliau menerima pelbagai kritikan termasuk dituduh mengkhianati UMNO.
Bagaimanapun, Mohd Puad menegaskan segala kecaman itu tidak akan menghalangnya daripada terus menyuarakan pendirian.
Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengumumkan keluar daripada UMNO pada 25 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Mohd Puad memenangi kerusi DUN Rengit atas tiket BN dengan menewaskan calon daripada PH, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















