BERITA SEMASA

Telco culas atasi masalah internet luar bandar akan dipanggil – Fahmi

MUAR – Kementerian Komunikasi tidak akan berkompromi dengan syarikat telekomunikasi yang masih gagal menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan luar bandar apabila mereka akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan serta mempercepat usaha penambahbaikan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil syarikat telekomunikasi yang dikenal pasti masih culas menangani isu berkenaan.

“Rakyat mengharapkan 5G tetapi tahap kelajuan mungkin pada tahap 2G ataupun Edge. Pihak telco sepatutnya memanfaatkan data yang ada sepenuhnya,” katanya ketika menghadiri Kenduri Doa Selamat dan Tahlil di Parit Jepon, di sini malam tadi.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi terus komited meningkatkan liputan internet di kawasan DUN Bukit Naning yang sebahagian besarnya meliputi kawasan ladang kelapa sawit.

Menurut beliau, antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah pembinaan menara telekomunikasi baharu bagi memperkukuh liputan perkhidmatan di kawasan berkenaan.

“Bentuk muka bumi dan tanaman sawit mengganggu kepada signal perkhidmatan telco.

“Justeru, perancangan pembinaan menara baharu diharap dapat memberi meningkatkan liputan terutama di Batu 14, 15 dan 16,” katanya.

Beliau berkata, Pengarah MCMC Johor, Syed Isa Shekh Alsagoff turut dibawa meninjau sendiri keadaan di kawasan terbabit selepas menerima aduan penduduk mengenai masalah liputan telekomunikasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button