POLITIK

PRN Johor: Fahmi tempelak ramalan Kian Ming, jauh menyimpang daripada realiti kempen

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pandangan yang dibuat oleh Ong Kian Ming adalah tidak tepat dan jauh tersasar daripada realiti semasa kempen pilihan raya.

“Dr Ong Kian Ming sahabat saya, kawan saya dan saya selalu bertengkar dengan beliau sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen dulu. Dia berhak mempunyai pandangan dia, tapi pandangan dia meleset jauh tersasar daripada realiti.

“Saya rasa ada kebanyakan benda ini mungkin daripada kelewatan pelancaran manifesto dan juga masa yang dihadapi sebelum ini, jadi itu akan menyebabkan perkara seperti ini berlaku,” katanya selepas Program Ramah Mesra Menteri Komunikasi bersama Penduduk Kampung Istana di sini, hari ini.

Baca juga : Semangat KJ patut ‘copy paste’ kepada Onn Hafiz – Fahmi

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ong yang sebelum ini meramalkan BN mampu mencatat kemenangan besar pada PRN Johor.

Menurut Fahmi, Pakatan Harapan membuat keputusan melancarkan manifesto pada waktu yang sesuai selepas semua input dan perincian dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Kita pilih masa, waktu setelah kita rasakan bahan-bahan, *ingredients* kepada manifesto itu cukup lengkap dan telah mendapat persetujuan daripada pimpinan tertinggi termasuk Perdana Menteri.

“Saya kira ia diluncurkan tepat pada masanya pada hari Jumaat, bersamaan dengan bermulanya minggu kedua kempen,” katanya.

Tambah beliau, selepas pelancaran manifesto masing-masing, kedua-dua pihak dijangka akan memperagakan tawaran serta pendekatan kepada pengundi sepanjang tempoh kempen.

Semalam, Kian Ming meramalkan BN dijangka membolot hingga 53 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kebarangkalian BN meraih kemenangan besar kini meningkat daripada lebih 50 peratus kepada lebih 60 peratus selepas minggu pertama kempen PRN itu.

Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan tiga senario – iaitu yang memihak kepada Barisan Nasional (BN); Pakatan Harapan (PH); dan Perikatan Nasional (PN) – dengan menggunakan data undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam senario memihak kepada BN yang juga dilihat paling berkemungkinan berlaku, beliau berkata, PH dijangka memenangi baki tiga lagi kerusi DUN terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button