Program Kampung Angkat MADANI hidupkan semula peranan balai raya Kampung Istana
BATU PAHAT – Kemudahan balai raya yang dinaik taraf serta pengukuhan aktiviti komuniti dilihat mampu menghidupkan kembali peranan Kampung Istana di sini, sebagai pusat tumpuan aktiviti masyarakat setempat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha penambahbaikan itu merupakan antara inisiatif di bawah Program Kampung Angkat Madani yang dilaksanakan di Kampung Istana dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dalam menggerakkan aktiviti kemasyarakatan serta program gotong-royong.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah atas pelaksanaan program Kampung Angkat Madani.
“Kampung Istana merupakan kampung angkat bagi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan ini atas keprihatinan beliau memilih lokasi ini dan mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan juga daripada Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Baca juga : Program Kampung Angkat Madani hidupkan semula peranan balai raya Kampung Istana
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Menteri Komunikasi bersama Penduduk Kampung Istana di sini, hari ini.
Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar serta calon DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk balai raya yang kini boleh digunakan secara lebih meluas oleh penduduk setempat.
“Dan ada beberapa perkara yang telah ditambah baik termasuk balai raya yang kita harap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga setempat,” katanya.
Fahmi berkata, beliau turut melihat potensi besar Kampung Istana untuk terus diperkukuh melalui penglibatan aktif komuniti setempat dalam aktiviti kemasyarakatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, peralatan yang disediakan kementerian termasuk untuk tujuan gotong-royong diharap dapat membantu memastikan kebersihan dan keindahan kampung terus terpelihara.
“Saya harap beberapa peralatan yang telah disediakan oleh pihak kementerian kepada Ketua Kampung dan penduduk termasuk untuk usaha gotong royong akan dapat memastikan Kampung Istana kekal bersih dan indah,” katanya.
Beliau menambah peranan penduduk setempat amat penting dalam memastikan setiap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kesejahteraan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















