BERITA SEMASA

PM rasmi SParK 2026, PUNB sasar salur pembiayaan RM2.25 bilion kepada usahawan Bumiputera

PUTRAJAYA – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 dalam usaha memperkukuh pembangunan dan daya saing usahawan Bumiputera di negara ini.

Sasaran yang digariskan menerusi Kerangka Strategik R30 itu diumumkan sempena perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Menurut PUNB, sasaran pembiayaan tersebut bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat Bumiputera, meningkatkan keupayaan penskalaan komersial, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan utama negara.

Pada majlis sama, PUNB turut mengumumkan penurunan kadar pembiayaan PROSPER GROW kepada serendah 3.5 peratus setahun, selain memperkenalkan tiga program baharu iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memudahkan akses pembiayaan serta memperkukuh modal kerja usahawan.

Sasaran pembiayaan itu akan dilaksanakan menerusi kemudahan sedia ada seperti PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA, di samping penambahbaikan program yang lebih bersasar mengikut keperluan semasa usahawan.

Penganjuran SParK 2026 yang diadakan sempena ulang tahun ke-35 PUNB menghimpunkan rakan usahawan, tokoh korporat, pemain industri, penggiat digital, agensi pembangunan dan rakan strategik menerusi pelbagai program termasuk persidangan, perkongsian ilmu, pameran perniagaan serta aktiviti jualan.

Program selama dua hari itu turut menjadi platform kepada usahawan untuk membina jaringan strategik, meneroka peluang baharu dan mendapatkan pandangan industri dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, SParK diwujudkan bagi mempertemukan ilmu, pasaran, jaringan dan peluang pertumbuhan untuk memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button