BERITA SEMASA

JS-SEZ: Kerajaan Persekutuan kekal komited jadikan Johor hab ekonomi serantau

PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi menegaskan Kerajaan Persekutuan kekal komited melaksanakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai agenda ekonomi nasional bagi menjadikan Johor sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.

Menurutnya dalam satu kenyataan, proses penyelarasan Pelan Induk JS-SEZ sedang dipergiat bagi memuktamadkan aspek kesiapsiagaan dasar serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura sebelum pelancarannya.

“Sebagai inisiatif rentas sempadan yang besar, pelancaran Pelan Induk JS-SEZ perlu menjadi rujukan pelaksanaan yang jelas kepada pelabur, agensi pelaksana dan semua pihak berkepentingan.

“Apa yang lebih penting, pembangunan JS-SEZ tidak pernah tertangguh hanya kerana Pelan Induk belum dilancarkan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor kini mempergiat kerjasama dengan agensi pelaksana bagi memudah cara urusan pelaburan serta pembangunan infrastruktur, di samping memperkukuh aspek modal insan, tenaga, kastam, imigresen, dan kesalinghubungan rentas sempadan.

“Pada tahun 2025 sahaja, JS-SEZ mencatat RM76.98 bilion pelaburan diluluskan 57% daripada jumlah kumulatif pelaburan yang diluluskan sehingga kini sudah bergerak ke peringkat pelaksanaan.

“Bagi suku pertama 2026, JS-SEZ turut mencatat RM5.49 bilion pelaburan diluluskan. Dari Januari hingga Mei 2026, IMFC-J telah menguruskan 285 pertanyaan pelaburan dengan potensi pelaburan terkumpul dikenal pasti berjumlah RM74.12 bilion.

“Angka ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ kekal kukuh dan manfaat JS-SEZ sedang diterjemahkan kepada projek sebenar, bukan sekadar kekal sebagai blueprint,” kata Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi.

Pada masa sama, sesi libat urus bersama pihak pelabur dan rakan strategik terus dipergiat bagi memperkukuh kerjasama pembangunan projek berkenaan.

Usaha itu turut merangkumi penganjuran JS-SEZ Executive Forum pada 1 Julai 2026 yang dihadiri oleh Menteri Ekonomi, sekali gus mencerminkan keseriusan kerjasama strategik antara Malaysia dengan Itali serta rantau Eropah.

Menurut kenyataan itu, siri pertemuan bersama delegasi dari Perancis, Jerman, negara-negara Nordic, Taiwan, Kanada serta wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura turut diadakan.

“Rantaian bekalan terus diperkukuhkan melalui program Micron–OCBC JS-SEZ Supplier Event 2026 yang membawa 30 pembekal dari Korea, Jepun dan Taiwan ke Johor.

“Bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama industri tempatan dan persediaan operasi Johor-Singapore Rapid Transit System (RTS) membuktikan agenda pembangunan JS-SEZ bergerak mengikut perancangan dan akan terus dipacu secara konsisten,” ujarnya.

Kerajaan Persekutuan menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dalam aspek pembangunan dan masa depan negeri Johor.

Bagi mengangkat Johor sebagai hab ekonomi serantau, tumpuan kini terarah kepada pemantapan Pelan Induk JS-SEZ yang bakal menjadi pemacu kepada kemasukan pelaburan berkualiti serta penyumbang kepada kesejahteraan ekonomi rakyat yang mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button