Cederakan banduan: Lima warden Penjara Taiping didakwa esok
KUALA LUMPUR – Lima warden Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak pada jam 9 pagi esok atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang berlaku di penjara berkenaan tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M Kumar berkata, pertuduhan itu dibuat susulan siasatan terperinci yang dijalankan oleh JSJ Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berhubung kejadian pada Januari 2025 yang mengakibatkan kematian seorang banduan serta kecederaan kepada beberapa individu lain.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu bersama arahan untuk mengemukakan tiga pertuduhan.
“Satu pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap seorang warden kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lagi warden akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana secara bersama-sama menyebabkan kecederaan dengan niat yang sama.
Selain itu, dua warden lain turut akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Menurutnya, kesalahan di bawah Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pada 19 Disember 2025, seorang warden Penjara Taiping telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkaitan insiden yang sama.
Dalam perkembangan sama, M Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau memanipulasi fakta berhubung kes berkenaan memandangkan proses perundangan sedang berjalan.
“Memandangkan prosedur pertuduhan dan perbicaraan jenayah akan dimulakan, orang ramai diminta menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















