Kempen PH semakin rancak, calon ligat bertemu pengundi
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sudah mendapat rentak dan menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan setiap calon mengadakan lebih 10 program sehari.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, walaupun terdapat calon yang pertama kali bertanding, mereka kini semakin menyesuaikan diri dengan rentak kempen yang padat.
“Alhamdulillah, kempen kita semakin mendapat kekuatan dan sokongan. Ada calon yang pertama kali bertanding, tetapi mereka sudah mendapat rentak.
“Saya lihat secara purata mereka mengadakan lebih 10 program sehari, bermula seawal subuh sehingga lewat malam,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kempen calon PH pada PRN Johor.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi budi madani diesel di Stesen Minyak Petronas Bandar Dato Onn, di sini hari ini.
Sebagai rekod, tempoh berkempen bagi PRN Johor berlangsung selama 14 hari bermula 27 Jun sehingga 10 Julai, dengan hari mengundi awal ditetapkan 7 Julai dan hari mengundi ialah pada 11 Julai.
Ketika ditanya mengenai maklum balas rakyat, Fuziah berkata, penerimaan terhadap PH setakat ini adalah positif.
Namun katanya dinamik kempen berbeza mengikut kawasan yang ditandingi.
“Setiap kawasan mempunyai dinamik yang berbeza, tetapi setakat ini maklum balas yang kita terima adalah positif.
“Terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mereka merupakan pengundi kali pertama dan mahu mendengar sendiri apa yang kita tawarkan,” katanya.
Fuziah kemudiannya turut mengakui terdapat beberapa insiden kecil membabitkan bahan kempen seperti poster dikoyakkan, papan iklan dirosakkan dan bendera dibakar.
“Ada sedikit insiden seperti poster koyak, papan iklan rosak dan bendera dibakar, tetapi secara keseluruhannya kempen berjalan dengan tenang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















