BERITA SEMASA

Dewan Rakyat luluskan RUU Jenayah Siber 2026

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang antara lain memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan pemalsuan digital (deepfake) serta penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer kompleks.

RUU yang mengandungi 61 fasal berkaitan jenayah siber itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan 48 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, lapor BERNAMA.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan bagaimanapun tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa atau mengatasi mana-mana perundangan lain termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, kerana ia tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang serta prosedur perundangan yang ketat bagi melindungi hak asasi dan privasi rakyat.

Beliau berkata, kuasa mengakses sistem dan data komputer juga tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya, tetapi perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang.

“Notis pemeliharaan data komputer hanya boleh dikeluarkan sekiranya pegawai penyiasat berpuas hati bahawa data itu munasabah dan diperlukan bagi tujuan penyiasatan serta terdapat risiko data berkenaan dipadam, diubah atau dimusnahkan jika tindakan segera tidak diambil.

“Mengenai penzahiran data komputer, kerajaan ingin menegaskan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan melalui notis bertulis kepada pihak mempunyai milikkan atau kawalan ke atas data tersebut dan tertakluk kepada keperluan penyiasatan yang sah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RUU itu.

Menjawab kebimbangan bahawa RUU itu boleh mengekang kebebasan bersuara, Ahmad Zahid berkata, undang-undang tersebut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan jenayah siber.

Selain itu, beliau berkata, kandungan yang dijana menggunakan AI tidak menjadi kesalahan semata-mata kerana ia dihasilkan teknologi berkenaan, sebaliknya pihak pendakwaan perlu membuktikan elemen kesalahan termasuk niat jenayah (criminal intent), tujuan penggunaan serta kesan daripada perbuatan itu.

Beliau turut memaklumkan kerajaan telah menubuhkan Cybersecurity and Cryptology Development Centre pada 3 Jun lepas, yang menggabungkan CyberSecurity Malaysia dan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memperkukuh kepakaran termasuk forensik AI.

Berhubung perlindungan terhadap mangsa jenayah siber, Ahmad Zahid berkata, kerajaan berkongsi kebimbangan bahawa golongan rentan semakin menjadi sasaran sindiket melalui penipuan kewangan, eksploitasi seksual, penyebaran imej intim tanpa kebenaran dan manipulasi kandungan digital.

Beliau berkata, RUU itu memperuntukkan beberapa kesalahan khusus yang sebelum ini tidak diperuntukkan secara jelas di bawah undang-undang sedia ada, sekali gus memperkukuh perlindungan kepada mangsa.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital serta rakan antarabangsa bagi mempercepat penurunan kandungan yang menyalahi undang-undang, selain menambah baik perkongsian maklumat masa nyata melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Dari segi penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal sebagai agensi utama, dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menerajui siasatan, manakala NACSA berperanan sebagai penyelaras strategik bersama MCMC, Bank Negara Malaysia dan agensi teknikal lain.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan penambahbaikan peruntukan termasuk kuasa akses data, penyitaan peranti elektronik serta keperluan memperjelas tafsiran kandungan AI bagi mengelakkan salah tafsir terhadap satira, karya seni dan kritikan politik.

Turut dicadangkan ialah penglibatan wakil Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber serta mekanisme lebih pantas untuk menurunkan kandungan deepfake lucah dan visual intim bagi melindungi privasi mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button