Tiga inisiatif MCMC raih pengiktirafan global di WSIS Prizes 2026
CYBERJAYA – Tiga inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diiktiraf sebagai ‘Champion Project’ di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026.
Menurut kenyataan daripada MCMC pengiktirafan ini membuktikan kepimpinan Malaysia dalam menerajui agenda pembangunan digital yang inklusif, dipercayai, dan berteraskan rakyat di peringkat serantau serta global.
“Pencapaian ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui pelaksanaan inisiatif yang membangunkan bakat digital, memperkukuh tadbir urus yang baik serta memupuk kepercayaan awam terhadap ekosistem digital negara.
“WSIS Prizes, yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai sebahagian daripada proses WSIS yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan antara pengiktirafan paling berprestij di dunia,” katanya.
Bagi edisi 2026, pertandingan itu menerima rekod sebanyak 1,595 penyertaan daripada 122 negara serta lebih 2.2 juta undian, sekali gus mencerminkan tahap daya saing pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa.
Champion Project diberikan kepada lima inisiatif terbaik bagi setiap kategori Garis Tindakan WSIS yang dipilih melalui penilaian serta undian awam global.
Satu projek akan dipilih sebagai pemenang bagi setiap kategori dan diumumkan di Majlis WSIS Prizes 2026 yang berlangsung pada 9 Julai 2026 di Geneva, Switzerland.
Tiga inisiatif MCMC yang diiktiraf sebagai “Champion Project” adalah ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform di bawah kategori AL C1 (Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam Menggalakkan ICT untuk Pembangunan).
Seterusnya, Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030) bagi kategori AL C6 (Persekitaran yang Membolehkan), serta portal Sebenarnya.my bagi kategori AL C9 (Media).
Kejayaan ini sekaligus memaparkan tiga tonggak utama hala tuju digital negara, iaitu pembangunan bakat digital masa hadapan, pemerkasaan tadbir urus digital yang dipercayai dan adaptif, serta pembentukan masyarakat digital yang berpengetahuan, berdaya tahan, dan bertanggungjawab.
ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform yang dibangunkan MCMC melalui kerjasama strategik dengan negara anggota ASEAN, pihak industri, serta pakar serantau, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam ekonomi 5G di rantau itu.
Rangka kerja yang diperakukan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi, Vietnam pada Januari 2026 itu, mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi, serta 12 jurang kemahiran keutamaan dalam ekosistem 5G.
Inisiatif itu mewujudkan bahasa kemahiran bersama yang menyokong mobiliti tenaga kerja, pembangunan industri serta pelaburan masa hadapan di seluruh ASEAN.
Pengiktirafan terhadap Human-Centered Digital Governance di bawah Pelan Lima Tahun MCMC 2030 (FYP2030) pula menonjolkan usaha Malaysia dalam membina ekosistem komunikasi dan multimedia yang kalis masa depan bagi mendepani generasi teknologi digital seterusnya.
FYP2030 kini dikenali sebagai Pelan MCMC 2026-2030 (MCMC P2630).
Sebenarnya.my, portal semakan fakta dan pengesahan rasmi Malaysia yang dibangunkan oleh MCMC, diiktiraf atas sumbangannya dalam membanteras penyebaran maklumat palsu dan memperluas akses kepada maklumat yang sahih.
Pengiktirafan itu menandakan empat tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di pentas WSIS, sekali gus membuktikan keupayaan berterusan negara dalam membangunkan penyelesaian digital yang memberi impak nyata kepada masyarakat.
Pencapaian itu menyusuli pengiktirafan terhadap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II pada tahun 2025, Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan pada tahun 2024 serta JENDELA
pada tahun 2023.
MCMC komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dasar dan piawaian antarabangsa menerusi penglibatan strategik bersama ITU, ASEAN, serta pelbagai platform digital global yang lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















