BERITA SEMASA

KPDN batal kawalan had pembelian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan mulai hari ini

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) membatalkan sepenuhnya Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pembatalan arahan bertarikh 27 Mac 2026 itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lalu berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter serta pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak bermula 1 Julai 2026.

Menurut beliau, pembatalan itu melibatkan penghapusan had pembelian diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter yang sebelum ini dikenakan ke atas kenderaan pengangkutan darat.

“Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata, KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dapat dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

“KPDN menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button