Kanak-kanak hilang ditemukan maut dalam parit kebun sawit
BAGAN DATUK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Baru, Sungai Sumun, Hutan Melintang, ditemukan meninggal dunia dalam sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit pada malam semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 10.08 malam dalam keadaan terapung di parit yang terletak sekitar 300 meter dari kediamannya.
Menurut beliau, kehilangan kanak-kanak itu disedari bapanya selepas mendapati mangsa tiada di dalam rumah manakala pintu hadapan kediaman berada dalam keadaan terbuka.
“Ahli keluarga telah menjalankan usaha mencari di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sebelum membuat laporan kehilangan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
PDRM turut menggerakkan Unit K9 bagi membantu mengesan mangsa di kawasan sekitar lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan siasatan.
Operasi SAR yang bermula pada jam 6.24 petang itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.11 malam selepas mangsa berjaya ditemukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















