14 kanak-kanak maut dalam tragedi bumbung pusat tuisyen runtuh di Lahore
LAHORE – Seramai 14 kanak-kanak dilaporkan maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen persendirian runtuh di bandar Lahore, timur Pakistan semalam.
Tragedi itu turut mengorbankan seorang guru wanita berusia 30 tahun yang ditemukan tertimbus di bawah runtuhan bangunan berkenaan oleh pasukan penyelamat.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Punjab, mangsa yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 16 tahun, dengan majoritinya berumur bawah sembilan tahun.
Menteri Penerangan Punjab, Azma Bokhari berkata, siasatan awal mendapati pusat tuisyen itu tidak berdaftar dan beroperasi di dalam sebuah rumah persendirian yang mempunyai struktur bumbung uzur.
“Pusat tuisyen seperti itu lazim ditemui di Pakistan berikutan ramai pelajar menghadiri kelas tambahan di luar waktu persekolahan.
“Jika siasatan mendapati berlaku kecuaian, kelalaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, kerajaan Punjab telah mengarahkan pemeriksaan ke atas bangunan yang dikenal pasti tidak selamat menjelang musim tengkujuh.
Selain itu, pihak berkuasa juga akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap pusat tuisyen tidak berdaftar serta institusi pendidikan swasta bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi berkenaan dan menggesa langkah keselamatan yang lebih berkesan dilaksanakan di semua institusi pendidikan.
Beliau menegaskan aspek keselamatan bangunan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan nyawa pelajar dan tenaga pengajar sentiasa terpelihara.
Tragedi itu kini dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian dalam pengurusan premis berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















