JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas mekanik dipenjara 32 tahun, 12 sebatan bunuh kekasih guna bantal

KLANG – Seorang bekas mekanik dihukum penjara 32 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal dalam kejadian empat tahun lalu.

Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Amirul Amin Amirruddin, 23, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Ogos 2022.

Mengikut pertuduhan, Amirul Amin didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang, pada pukul 7.18 petang pada 24 Ogos 2022.

Dalam penghakimannya, Norliza berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas selepas mukanya ditekup menggunakan bantal.

“Ketika pemeriksaan balas, tertuduh mengakui ketika menekup muka si mati, dia melihat si mati bernafas dengan perlahan dan tersekat. Tindakannya menekup itu bagi menghentikan perlakuan agresif si mati.

“Tertuduh juga tahu bahawa tindakan itu boleh menyebabkan si mati tidak boleh bernafas kerana seluruh muka ditutup dengan bantal kerana manusia hanya bernafas melalui hidung. Tertuduh menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurut Norliza, kejadian itu berpunca daripada pertengkaran antara pasangan terbabit selepas mangsa meminta tertuduh menandatangani surat perjanjian supaya tidak meninggalkannya.

“Tertuduh juga bersetuju cadangan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas bahawa ada cara lain menenangkan si mati selain menekup menggunakan bantal.

“Mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau sehingga menyebabkan tertuduh bertindak menggunakan bantal itu.

“Tertuduh mempunyai lebih masa memikirkan tindakan lebih rasional dan menenangkan si mati apabila enggan menandatangani surat itu,” katanya.

Norliza turut menegaskan bahawa keterangan pembelaan tertuduh secara bersumpah hanyalah bersifat penafian semata-mata.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Evie Melynda Jee.

Untuk rekod, tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan pada 17 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri semula di Mahkamah Tinggi Klang atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button