KBS mahu cadangan pembinaan litar permotoran diteliti secara menyeluruh sebelum diluluskan
KUALA LUMPUR – Setiap cadangan pembinaan litar sukan permotoran perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memenuhi keperluan selain mampu diuruskan dengan baik dalam jangka panjang.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penilaian itu melibatkan pelbagai aspek termasuk lokasi, kos pembinaan, keselamatan serta penyelenggaraan sebelum sebarang cadangan dapat dipertimbangkan.
Menurut beliau, cadangan berkenaan juga perlu mengambil kira bilangan penggiat sukan permotoran, tahap penggunaan litar serta kekerapan penganjuran kejohanan.
“Sebarang cadangan permohonan perlu disokong oleh kajian keperluan yang menyeluruh termasuk anggaran kos dan status tanah.
“Paling penting, selepas dana pembinaan diluluskan, siapa yang akan menyelenggarakan litar tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd. Hasnizan Harun pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, setiap cadangan pembinaan litar turut perlu dirujuk kepada Motorsports Association of Malaysia (MAM) serta agensi teknikal berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, aspek pencemaran bunyi juga tidak boleh dipandang ringan dengan mengambil kira jarak litar daripada kawasan kediaman bagi memastikan pembinaannya tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















