POLITIK

Dakwaan calon ‘kitar semula’, rakan main golf naratif lapuk – Mahdzir

BATU PAHAT – Dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon ‘kitar semula’ selain mengaitkan pemimpin parti dengan isu ‘rakan main golf’ disifatkan sebagai naratif lama yang sengaja dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan sedemikian tidak menjejaskan fokus jentera BN yang kini giat memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, budaya BN selama ini tidak pernah mengajar pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan atau menyinggung mana-mana pihak.

“Ia adalah lumrah manusia apabila berada dalam keadaan marah. Kadangkala segala perkara baik yang pernah dilakukan sebelum ini boleh dilupakan dan emosi mula menguasai pertimbangan.

“Apabila seseorang berada dalam keadaan marah, apa sahaja boleh diperkatakan tanpa pertimbangan yang rasional dan akhirnya mudah disalah tafsir.

“Yang penting, semua isu yang timbul perlu ditangani secara berhemah supaya tidak mengganggu tumpuan BN dalam menghadapi pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, Tongkang Pechah, dekat sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan mendakwa UMNO dan BN menampilkan ramai calon ‘kitar semula’ yang tidak mencerminkan aspirasi golongan muda pada PRN Johor.

Mohd Puad turut mendakwa senarai calon yang diketengahkan parti itu gagal memenuhi tuntutan generasi baharu dalam UMNO.

Mahdzir berkata, jentera pilihan raya di kawasan Sri Gading, Parit Raja, Parit Yaani dan Semarang kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Menurutnya, semua pusat daerah mengundi telah beroperasi dengan baik termasuk urusan penghantaran bahan kempen yang berjalan lancar.

“Malah, pasukan dari Kedah juga telah turun membantu jentera tempatan di Johor sebagai sebahagian usaha memperkukuh gerak kerja pilihan raya di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button