JENAYAH & MAHKAMAH

Dalang wanita warga India antara 12 ditahan, sindiket dokumen palsu tumpas

KLANG – Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan penggunaan cap keselamatan palsu yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu berjaya dibongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menahan 12 warga asing, termasuk dalang utama dalam serbuan Op Serkap di sekitar daerah ini, semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 1.45 petang itu berjaya menumpaskan rangkaian sindiket yang dipercayai menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan.

Menurut beliau, dalang utama sindiket berkenaan merupakan seorang wanita warga India berusia antara 25 hingga 40 tahun yang didapati memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang hasil perkahwinan dengan seorang warga tempatan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menawarkan pelbagai dokumen dan rekod palsu kepada pelanggan warga asing.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk pelanggan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menempatkan mereka di sebuah rumah transit di sekitar Klang selama antara satu hingga dua minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket tersebut turut menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi mewujudkan gambaran bahawa pelanggan mempunyai sejarah perjalanan yang sah dan kukuh.

Katanya, sindiket berkenaan juga menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Dalam operasi itu, seramai 12 individu yang ditahan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Sri Lanka, dan kini ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket ini, termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button