“Jangan sekat BN, jumpa di gelanggang secara ‘gentleman’” – Zahid
PARIT SULONG – Barisan Nasional (BN) menggesa semua pihak supaya tidak menghalang atau menyekat pergerakan jentera parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya berdepan secara terbuka dan adil di medan demokrasi.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, amalan menyekat kempen politik seperti menghadkan akses media sosial dan ruang komunikasi tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Jangan tekan-tekan, jangan sekat-sekat. Nak masuk ‘kandang’ pun tidak boleh. Jumpalah dalam gelanggang dengan gentleman.
“Apa Facebook kita kena sekat, lagu kita di TikTok pun kena sekat. Gentlemanlah lawan hingga menang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Tanjung Simpang, Tongkang Pechah, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan UMNO dan BN kekal memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pemerintahan, namun menuntut ruang demokrasi dihormati semua pihak.
Menurutnya, sebarang tindakan menghalang kempen politik tidak seharusnya berlaku kerana ia bercanggah dengan semangat pilihan raya yang matang dan terbuka.
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO dan BN bukan parti yang lahir daripada demonstrasi jalanan, sebaliknya mempunyai sejarah panjang dalam landskap politik negara.
“UMNO dan BN bukan parti jalanan, bukan parti demonstrasi serta bukan parti anak-beranak.
“UMNO dan BN adalah parti masa depan, parti untuk seluruh rakyat Malaysia demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Ahmad Zahid dalam masa sama menegaskan parti itu tidak mengamalkan politik dendam atau budaya saling menghina dalam berkempen.
“Kita tidak dendam, marah-marah, sindir-sindir dan tidak kata sama-sama budak-budak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













