Waris nafi dakwaan JAIS, buat laporan polis pertahan nama baik keluarga
AMPANG JAYA – Waris kepada seorang lelaki yang terlibat dalam kontroversi pengurusan jenazah sebelum ini tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah dan mencemarkan nama baik dirinya serta keluarga.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya susulan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu berkenaan semalam.
Menurut waris terbabit, kenyataan yang mendakwa ‘datuk si mati berkeras mahu jenazah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS)’ adalah tidak benar dan berniat jahat terhadap dirinya.
“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah dan pada waktu kejadian, saya berada bersama jenazah cucu perempuan saya.
“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku terhadap diri saya dan keluarga ketika menguruskan jenazah cucu saya, selain menafikan segala dakwaan fitnah yang disebarkan menerusi rakaman audio, penjelasan siak serta kenyataan media JAIS,” katanya dalam laporan tersebut.
Beliau berkata, laporan itu juga dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan serta membuka ruang untuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnah dirinya dan keluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asistan Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan.
“Laporan polis telah dibuat dan disahkan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mendakwa jenazah anak perempuannya dibiarkan hampir sejam di tanah perkuburan Islam susulan pertikaian berkaitan caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan pengurusan jenazah.
Susulan itu, seorang siak masjid tampil memberikan penjelasan dengan memaklumkan bahawa berlaku salah faham dalam urusan pengurusan jenazah berkenaan.
Menurutnya, pengurusan jenazah yang pada asalnya dijadualkan dikendalikan pihak masjid telah diambil alih oleh BKS pada saat akhir.
Dalam perkembangan sama, JAIS turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid mengenakan caj RM1,400 kepada waris bagi pengurusan jenazah tersebut.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, waris pada peringkat awal berurusan dengan BKS yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid, manakala bapa arwah hanya hadir ke masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sebelum bersetuju untuk membenarkan pihak masjid mengambil alih urusan berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak masjid telah mengeluarkan borang berkenaan selepas menerima sijil kematian asal dan dimaklumkan bahawa datuk si mati mahu pengurusan jenazah diteruskan oleh BKS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












