Dua pelajar MRSM disyaki membuli berdepan tindakan buang sekolah
KUALA LUMPUR – Dua pelajar tingkatan lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di selatan tanah air yang disyaki terbabit dalam kes buli berdepan tindakan dibuang sekolah sekiranya siasatan mendapati mereka bersalah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap kes buli, meskipun pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya telah mendapat maklum balas. Dua pelajar yang disyaki pembuli sedang disoal siasat dan Jawatankuasa Disiplin Maktab akan bersidang segera.
“Jika didapati benar, semua pelajar ini akan diberhentikan daripada MRSM walaupun mereka akan menghadapi peperiksaan SPM tiga minggu lagi, tiada kompromi dalam soal buli. Saya sudah beri amaran, #YouTouchYouGo,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ruangan komen di platform Threads sebagai respons terhadap hantaran seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya menjadi mangsa buli sehingga terpaksa berhenti belajar di sebuah MRSM di selatan tanah air.
Sebelum itu, Dr Asyraf Wajdi turut meminta ibu berkenaan mengemukakan maklumat lengkap mengenai dakwaan tersebut dan memberikan nombor telefon pegawainya bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.
“Kenapa tidak lapor kepada pengetua? Berikan maklumat penuh kepada saya. Sepatutnya jangan berhenti.
“Kalau maklumkan kepada saya lebih awal, pasti tiada yang terlepas. Apa-apa pun, saya perlukan maklumat penuh,” katanya.
Menerusi hantaran di Threads, wanita yang menggunakan nama Eja Eerieja mendakwa anak lelakinya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah kerana tidak lagi mampu memberi tumpuan kepada pelajaran akibat dibuli.
Menurutnya, selepas segala urusan pemberhentian selesai, anaknya memaklumkan bahawa dia didakwa menjadi mangsa buli fizikal oleh beberapa pelajar senior tingkatan lima.
“Berapa ramai lagi anak yang perlu menjadi mangsa sebelum isu buli di asrama dipandang serius? Anak saya telah berhenti MRSM kerana didakwa tidak boleh fokus belajar.
“Dengan berat hati saya menunaikan permintaannya untuk keluar dari asrama. Selepas semua urusan selesai, barulah anak saya memberitahu perkara sebenar bahawa dia didakwa ditumbuk, diterajang dan disiku di bahagian dada oleh pelajar senior,” dakwanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













