BERITA SEMASA

Isu Rohingya: KDN teliti dapatan perbincangan antara agensi

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dapatan daripada beberapa mesyuarat pelarasan antara pelbagai kementerian dan agensi berhubung isu pelarian Rohingya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan KDN mengambil pendekatan sedemikian bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar mencapai maksud.

“Sekiranya ia berkaitan sama ada pendaftaran ataupun perkara-perkara berkaitan, maka perlu diselaraskan di antara pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dari segi penguatkuasaan,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.

Menurutnya, siri perbincangan tersebut melibatkan beberapa agensi utama termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor serta Kementerian Luar Negeri.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, mesyuarat berkenaan merupakan kesinambungan kepada sesi terdahulu yang diadakan dalam tempoh beberapa minggu lalu bagi merangka hala tuju dasar berkaitan pengurusan isu berkenaan.

Katanya, hasil perbincangan tersebut telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum Perdana Menteri mengarahkan KDN melakukan semakan lanjut terhadap dapatan yang dikemukakan.

Fahmi turut menegaskan, semua cadangan yang dibincangkan masih berada pada peringkat penelitian dan belum ada sebarang keputusan yang boleh diumumkan kepada umum ketika ini.

“Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan tertentu untuk diumumkan pada hari ini. Perbincangan itu akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button