BERITA SEMASA

KDN haramkan dua penerbitan

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) terhadap dua tajuk penerbitan, berkuat kuasa 1 dan 3 Julai lalu.

KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbitan berjudul “Chase Me” oleh Tessa Bailey dikenakan larangan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 13) 2025 [P.U.(A) 203] berkuat kuasa 1 Julai.

Manakala penerbitan berjudul “Ammar Zahrain: The Obsessive Husband” oleh Nssignature dikenakan larangan menurut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 14) 2025 [P.U.(A) 204] berkuat kuasa 3 Julai.

“Kedua-dua penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana kandungannya mungkin memudaratkan kemoralan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Perintah larangan terhadap kedua-dua hasil penerbitan itu adalah selaras peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan
yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Perintah Larangan itu juga merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Dalam masa yang sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” kata kenyataan itu lagi.

KDN mengingatkan, Subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukkan bahawa, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Maklumat lanjut berkaitan dengan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button