JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat lelaki separuh bogel ditemukan di lebuh raya, polis siasat kemungkinan langgar lari

ALOR GAJAH – Penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel di Kilometer 198.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi ini, menggemparkan pengguna jalan raya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca sebenar kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 6.30 pagi sebelum menemui mangsa di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 40-an, namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian tidak lengkap serta mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dilanggar oleh kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan kematian masih dalam siasatan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor GaJah untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika melalui lokasi sekitar Kilometer 198.5 lebuh raya itu antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi diminta tampil membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button