BERITA SEMASA

MYCAKNA terajui penerbitan dokumentari etnik minoriti Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Masyarakat Cakna Harmoni (MYCAKNA) menerajui inisiatif penerbitan lima dokumentari khas mengenai komuniti etnik minoriti di Sabah dan Sarawak dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional serta meningkatkan kefahaman rakyat terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.

Pengerusi MYCAKNA, Riza Imran Abd Razak berkata, projek yang dilaksanakan menerusi Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) Kementerian Perpaduan Negara itu bertujuan mendokumentasikan sejarah, budaya, bahasa dan warisan komuniti etnik yang kurang dikenali masyarakat umum, sekali gus memperkenalkan keunikan mereka kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, pendekatan dokumentari dipilih kerana mampu memberi gambaran lebih dekat mengenai kehidupan sebenar komuniti berkenaan serta membina kefahaman antara masyarakat berbilang kaum.

“Projek ini bukan sekadar merakam budaya dan identiti sesuatu komuniti, tetapi menjadi medium untuk memperkukuh perpaduan melalui pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian yang menjadi asas pembentukan negara.

“Apabila rakyat lebih mengenali budaya dan latar belakang komuniti lain, ruang untuk prasangka serta salah faham dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara etnik yang dicadangkan untuk diketengahkan menerusi dokumentari tersebut ialah Rungus, Dusun Liwan, Dusun Bundu dan Dusun Lotud di Sabah serta Kiput, Berawan, Sihan, Lun Bawang dan Narum di Sarawak.

“Setiap dokumentari akan memberi tumpuan kepada keunikan adat resam, bahasa, nilai kehidupan dan sumbangan komuniti tersebut dalam membentuk identiti Malaysia,” katanya lagi.

Program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama Pertubuhan Masyarakat Insaniah dan Inklusif (PERMAIDANI), Pertubuhan Peduli Masyarakat Sejahtera (PERMAS), Pertubuhan Anak Muda Ikatan Rakyat Selangor (AMIR) dan Pertubuhan Mestika Santuni Masyarakat (MESTIKA).

Menurut Riza, usaha berkenaan selari dengan aspirasi negara yang menekankan kepentingan perpaduan sebagai asas kepada kestabilan dan kemajuan negara.

“Malaysia dikenali sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya. Namun masih banyak komuniti minoriti yang kurang mendapat pendedahan walaupun mereka mempunyai warisan yang amat bernilai.

“Dokumentari ini akan menjadi platform untuk memperkenalkan kisah, sejarah dan perjuangan komuniti tersebut kepada generasi masa kini dan akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan kerjasama lima NGO dalam menjayakan projek berkenaan sebagai contoh kolaborasi masyarakat sivil yang mampu menyumbang kepada agenda perpaduan negara.

“Setiap budaya adalah warisan yang perlu dihargai, setiap bahasa adalah khazanah yang perlu dipelihara dan setiap rakyat mempunyai tempat dalam naratif pembinaan negara.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap kisah komuniti etnik minoriti akan terus didengar, dihargai dan menjadi sebahagian daripada naratif besar perpaduan Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button